Selamat Hari Raya Aidilfitri
Kehadiran Aidilfitri atau Hari Raya Fitrah sesungguhnya
menjanjikan suatu limpahan nikmat yang besar dan harus disyukuri oleh umat
Islam. Aidilfitri yang bermaksud Hari Raya Fitrah, Hari Raya kesucian manusia.
Disebut juga sebagai hari kembalinya kesucian kepada kita. Kembalinya fitrah
kepada kita dan kita pun harus tampil sebagai manusia suci dan baik,
sebaik-baiknya kepada sesama manusia.
Aidilfitri itu juga disebut sebagai suatu nikmat perundangan
Ilahi. Suatu nikmat besar yang menjadi asas kepada ciri-ciri pembinaan
kemanusiaan dan sifat bersatu padu. Malah ia merangkumi asas yang satu, iaitu
kemurnian rohani, kebenaran dan keadilan, ilmu dan kebijaksanaan serta
kebahagiaan dunia dan akhirat.
Hari Raya Fitrah adalah hari kemerdekaan iaitu hari pertama
selepas Ramadan di mana orang-orang beriman memperoleh kembali kebebasan diri
dan kembali menikmati limpahan rezeki Ilahi selepas sebulan menyerahkan jiwa
raga mereka kepada Allah. Ia adalah hari kegembiraan kerana dapat melaksanakan
kewajipan dan berkeyakinan memperoleh pahala yang besar di sisi Allah.
Aidilfitri juga puncak kemenangan manusia dalam pertentangan
antara akal dan nafsunya, kerana puasa adalah keupayaan manusia untuk
menundukkan dorongan nafsu yang sentiasa cenderung kepada pelanggaran ajaran
Islam.
Fitrah juga berkait dengan hanif. Ertinya suatu sifat dalam diri
kita yang cenderung memihak kepada kebaikan dan kebenaran. Dalam sebuah hadis
disebutkan oleh Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Kebajikan ialah
suatu yang membuat hati dan jiwa tenang. Dan dosa ialah sesuatu yang terasa
tidak keruan dalam hati dan terasa bimbang di dada.” (Riwayat
Ahmad)
Maksud dosa dalam hadis tersebut adalah sesuatu yang dirasakan
bertentangan dengan hati nurani.
Kita renungi syair Arab;
“Bukanlah hari raya
Aidilfitri bagi orang yang berpakaian dan perabot rumahnya serba baru, namun
hari raya Aidilfitri adalah bagi orang yang beriman dan ketaatannya bertambah.”
Sewajarnya juga kesucian lahir dan batin ini menjadi motivasi
untuk membentuk kesedaran membantu golongan yang miskin atau tertindas. Dengan
kesedaran yang demikian akan membawa kita menjadi manusia yang bertakwa dan
mendapat kemuliaan di sisi-Nya.
Dalam kita merayakan Aidilfitri ini setidak-tidaknya ada tiga
perkara yang mesti dilakukan, iaitu:
* Pertama, bertakbir mengagungkan Allah atas segala
petunjuk-Nya, sehingga kita tetap berada di jalan-Nya.
* Kedua, bersyukur dengan membahagikan rezeki yang diperoleh dengan membayar zakat fitrah
* Ketiga, menahan marah dan saling maaf-memaafkan.
* Kedua, bersyukur dengan membahagikan rezeki yang diperoleh dengan membayar zakat fitrah
* Ketiga, menahan marah dan saling maaf-memaafkan.
Hal ini sebagaimana diajarkan dalam al-Quran dalam surah
al-Baqarah ayat 185 dan ali-Imran ayat 134: “…Mereka yang tetap
berderma baik dalam keadaan lapang ataupun sempit dan mereka mampu menahan
marah, lagi pula bersifat pemaaf kepada sesama manusia.”
Justeru itu, suasana lebaran adalah suasana keilahian dan kemanusiaan. Apa yang lebih penting dari itu ialah melalui semangat Syawal kita terus menperbaiki perilaku peribadi, hubungan dengan orang lain serta hubungan kita dengan Allah.
Justeru itu, suasana lebaran adalah suasana keilahian dan kemanusiaan. Apa yang lebih penting dari itu ialah melalui semangat Syawal kita terus menperbaiki perilaku peribadi, hubungan dengan orang lain serta hubungan kita dengan Allah.
Demikian Aidilfitri sebagai hari pertama umat Islam pulang daripada
pengembaraan kerohanian setelah sebulan berpuasa dalam bulan Ramadan. Dalam
pengembaraan itu, mereka telah meningglkan semua perkara yang digemari kerana
Allah dan membentuk dalam dirinya satu perasaan yang sentiasa memerhati dan
menjadikan hati dan iman mereka pengawal yang sentiasa menjaga tingkah laku
mereka.
No comments:
Post a Comment